WARGA EMAS POSITIF COVID-19 DITEMUI BERSEMBUNYI DI KEBUN
WARGA EMAS POSITIF COVID-19 DITEMUI BERSEMBUNYI DI KEBUN
KINABATANGAN: Seorang warga emas positif COVID-19 yang melarikan diri ketika mahu dibawa ke hospital ditemui bersembunyi di sebuah kebun di Kampung Kuala Tongod, di sini, petang Isnin.
Lelaki berusia 69 tahun itu ditemui penduduk kampung kira-kira jam 6.30 petang, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di Tongod, kemudian mengambil lelaki berkenaan untuk dibawa ke hospital.
“Pada jam 6.50 petang, polis menyerahkan warga emas berkenaan kepada petugas KKM,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.
Terdahulu, kira-kira jam 11 pagi Isnin, warga emas itu dikatakan melarikan diri ketika hendak dibawa ke Hospital Sandakan untuk rawatan selepas didapati positif COVID-19.
Dalam kejadian itu, sepasukan petugas KKM pergi ke kampung berkenaan untuk membuat makluman dan persediaan membawa individu yang disahkan positif COVID-19 ke Hospital Sandakan untuk rawatan.
Petugas kemudian membuat tinjauan ke rumah lelaki berkenaan dan mendapati warga emas itu sedang mengemaskan barang-barang di luar rumahnya, lapor HM online.
Petugas menyangka lelaki itu sedang bersiap untuk dibawa ke hospital, namun mereka mendapati lelaki itu menghilangkan diri tidak lama kemudian.