Warga Emas Pahang Terus Dibantu, 655 Bakal Terima Subsidi Pembedahan Katarak Tahun Ini
Warga Emas Pahang Terus Dibantu, 655 Bakal Terima Subsidi Pembedahan Katarak Tahun Ini
KUALA LIPIS – Warga emas di negeri Pahang terus menerima perhatian apabila kerajaan negeri meneruskan Program Subsidi Pembedahan Katarak Mata menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) 2025, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta disediakan untuk tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu menyasarkan seramai 655 warga emas sebagai penerima manfaat, hasil kejayaan pelaksanaan program yang bermula sejak tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya berbesar hati dapat merasmikan Majlis Peluncuran Program Subsidi Pembedahan Katarak Mata Warga Emas Negeri Pahang.
Terima kasih kepada Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang atas kerjasama menjayakan usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Turut hadir dalam Majlis tersebut, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Lipis merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Beliau memaklumkan, pada tahun 2024 kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.5 juta yang memberi manfaat kepada 854 warga emas. Dana itu meliputi kos pembedahan dan perbelanjaan pengurusan, yang dijalankan di fasiliti hospital kerajaan di seluruh Pahang.
Empat hospital terlibat dalam pelaksanaan program itu ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Hospital Kuala Lipis dan Hospital Rompin, dengan penglibatan lebih 100 kakitangan kesihatan.
Melihat kepada sambutan menggalakkan dan keberkesanan program, kerajaan negeri komited untuk meneruskannya dalam belanjawan 2025 demi kesejahteraan rakyat.
“Tahniah kepada semua warga kerja Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Unit Perancangan Operasi dan Data Strategik Negeri Pahang yang komited menjayakan program ini,” katanya lagi.
Program ini membuktikan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan berkesan kepada rakyat, khususnya golongan warga emas yang memerlukan.