WARGA EMAS OKU RENTUNG DALAM KEBAKARAN
PEKAN: Warga emas kurang upaya ditemui rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Ubai di sini pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Anuar Hassan berkata, kematian Mohd. Lazim Mat Nor, 63, disahkan petugas perubatan sejurus mangsa ditemui.
ANGGOTA JBPM PAHANG MELAKUKAN PEMERIKSAAN DI LOKASI KEBAKARAN MENGORBANKAN WARGA EMAS OKU DI KAMPUNG UBAI/JBPM PAHANG
Mengulas berhubung kejadian itu, Anuar berkata, pihaknya menerima aduan awam pada pukul 10.30 pagi menerusi talian kecemasan.
“Sejurus menerima aduan, Pusat Gerakan Operasi telah mengarahkan petugas Balai Bomba dan Penyelamat Peramu ke lokasi kejadian dengan bantuan empat jentera.
“Operasi memadam kebakaran melibatkan 15 anggota diketuai Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Ismail Abdul Ghani,” ujar beliau menerusi kenyataan disiarkan KOSMO! Online.
Tambah beliau lagi, kebakaran tersebut memusnahkan 90 peratus struktur rumah berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan.