Warga emas maut dihempap dahan pokok
Warga emas maut dihempap dahan pokok
BERA: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya dihempap dahan pokok besar yang tumbang secara tiba-tiba di Kilometer 34, Jalan Kuala Bera-Chenor, petang semalam.
Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, mangsa, Kamar Seman, 65, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Batu Papan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian belakang kepala.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai penyiasat dikerah ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Kampung Batu Papan Tengah menghala ke Kampung Batu Papan.
“Setibanya di lokasi kejadian, dahan pokok besar di tepi jalan secara tiba-tiba patah lalu menghempap mangsa.
“Penduduk kampung yang menyedari kejadian bertindak membantu mengalihkan dahan tersebut, namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, manakala kecederaan lain masih dalam siasatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk bedah siasat.
“Arahan bagi menjalankan post-mortem sudah dikeluarkan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.
Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (RLA) sementara, memandangkan mangsa tidak mempunyai rekod kesihatan dan siasatan lanjut masih dijalankan.-SAHIH