WARGA EMAS MAUT DALAM KEBAKARAN
WARGA EMAS MAUT DALAM KEBAKARAN
KUALA TERENGGANU: Wanita warga emas rentung, manakala suaminya melecur dalam kebakaran tiga rumah di Kampung Losong Haji Su, di sini hari ini.
Kejadian yang dipercayai berlaku jam 10.30 pagi itu menyebabkan Fatimah Mohd, 79, maut selepas terperangkap, manakala suaminya, Jusoh Muda, 82, yang melecur dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Terengganu, Md Hilman Ab Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 10.39 pagi sebelum 35 anggota bersama empat jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Jalan Kota, dikejarkan ke tempat kebakaran.
“Sebaik sampai, rumah berkenaan sudah terbakar hampir 80 peratus, sebelum pemadaman dijalankan.
“Api berjaya dikawal kira-kira 10 minit kemudian dan kita mengambil masa 30 minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran.
“Rumah didiami pasangan ini musnah 100 peratus, manakala dua rumah lagi mengalami kerosakan kira-kira 50 peratus, lapor BH ONLINE.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.