WARGA EMAS MANGSA SCAM
Berita Jenayah
WARGA EMAS MANGSA SCAM
PETALING JAYA: Seorang pesara warga emas kerugian lebih RM440,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Pos Laju dan pegawai polis.
Wanita berusia 79 tahun itu pada mulanya menerima satu panggilan kononnya dari Ibu Pejabat Pos Laju memaklumkan ada bungkusan dihantar ke Sabah oleh mangsa, pada 3 Julai lalu.
Bungkusan itu dikatakan mengandungi kad pengenalan dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atas namanya.
Dua hari kemudian, mangsa menerima satu mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki bernama Chong memberitahu dia menerima wang RM148,000 daripada penama, Chang Poon Siew yang didepositkan ke akaun banknya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata mangsa kemudian mendapat panggilan daripada pihak polis dan disambungkan kepada Inspektor Zaki kononnya dari Polis Kontinjen Sabah.
“Wanita itu diberitahu telah melakukan kesalahan berkaitan pengubahan wang haram dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Mangsa yang bimbang dengan ugutan itu terpaksa mengikuti segala arahan suspek dengan memindahkan wang simpanan ke akaun bank yang diberikan suspek kononnya untuk siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, transaksi pertama berjumlah RM29,934 berlaku pada 6 Ogos lalu, dan transaksi kedua serta ketiga berlaku pada 17 Ogos dan 24 Ogos lalu, masing-masing berjumlah RM100,00 dan RM315,000 membabitkan dua akaun bank milik suspek.
“Ketika mangsa di kaunter bank untuk buat semakan akaun banknya semalam, seorang pegawai di situ bertanyakan mengenai semua transaksi wang yang dilakukan kerana membabitkan jumlah yang besar.
“Pada mulanya mangsa enggan bercerita namun selepas ditanya berkali-kali, mangsa memberitahu perkara yang berlaku dan pegawai bank itu,” katanya.
Menurutnya, mangsa terus membuat laporan polis dan jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah sebanyak RM444,934.
Nik Ezanee berkata, modus operandi sebegini adalah yang terkini digunakan oleh sindiket Macau Scam dengan menyasarkan golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat terkini jenayah siber.
Justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah panik dan terpedaya dengan tipu helah serta ugutan yang dilakukan sindiket ini.
Sumber: BH Online