WARGA EMAS POSITIF COVID-19
Berita Nasional
WARGA EMAS JEMAAH MASJID AL-MUTTAQIN POSITIF COVID-19
KOTA TINGGI: Seorang warga emas yang juga jemaah Masjid Al-Muttaqin Taman Kota Jaya disahkan positif COVID-19 ketika mendapatkan rawatan sesak nafas di sebuah hospital swasta, di Johor Bahru, hari ini.
Sehubungan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi mengeluarkan Notis Perintah Tutup Masjid Al-Muttaqin Taman Kota Jaya, selama dua hari untuk tujuan kontaminasi dan pembersihan nyah kuman.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata
hospital swasta berkenaan kemudian memaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
“Warga emas berkenaan sudah dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi mendapati, pesakit adalah jemaah Masjid Al-Muttaqin Taman Kota Jaya, di sini.
“Siasatan lanjut juga mendapati pesakit membuat pergerakan ke daerah Tangkak sebelum ini untuk urusan peribadi dan anak lelaki pesakit berkenaan pulang dari Negeri Sembilan untuk melawatnya beberapa hari yang lalu.
“Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi masih belum mengenal pasti punca pesakit dijangkiti wabak COVID-19 dan ia masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Hussin berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi juga akan mengeluarkan surat kuarantin di rumah kepada ahli keluarga pesakit.
“Kesemua ahli keluarga dan kontak rapat warga emas berkenaan juga dijadual membuat ujian saringan COVID-19, esok pagi,” katanya.
Sumber: BH Online