“Warga emas hilang ketika candat sotong ditemui terapung di Pekan”
“Warga emas hilang ketika candat sotong ditemui terapung di Pekan”
PEKAN : Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencandat sotong di perairan Pantai Sepat di sini, ditemui meninggal dunia petang tadi.
Mangsa, Mohd Ishak Ismail, 63, ditemukan di Pantai Laganda, Tanjung Gosong, Pekan pada jam 6.30 petang, kira-kira 32 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi (PKO) Pantai Sepat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada 2 April lalu jam 9.57 malam.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan tiba di lokasi pada jam 10.28 malam, dengan jarak kira-kira 19 kilometer dari balai ke tempat kejadian.
“Mangsa disyaki lemas di laut semasa mencandat sotong.
“Hasil maklumat diterima daripada anak mangsa, Salina, memaklumkan mangsa keluar seorang diri pada 1 April jam 10 pagi dan kebiasaannya akan pulang keesokan hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Salahuddin berkata, mangsa dipercayai menaiki bot fiberglass sepanjang 24 kaki menggunakan enjin Yamaha 150hp, dan biasanya keluar dari Jeti Tanjung Api sebelum pulang berlabuh di jeti sama.

Ishak Ismail, 63, ditemukan di Pantai Laganda, Tanjung Gosong, Pekan
Beliau berkata, operasi hari ketiga dimulakan dengan panggilan baris di Pos Kawalan Bomba (PKB) Pantai Sepat bersama agensi sahabat, sebelum pencarian di laut digerakkan menuju Kampung Hijrah dalam lingkungan jarak empat hingga lima kilometer dari PKB.
Katanya, operasi membabitkan kekuatan anggota dari BBP Kuantan (enam anggota) dan BBP Peramu (dua anggota), selain penggunaan sebuah bot aluminium dan sebuah EMRS.
Operasi turut disertai PDRM (lima anggota), APM (15 anggota) serta APMM (empat anggota).
Operasi dikendalikan Komander Operasi, PBK I Mardi Abdullah.-SAHIH
