WARGA EMAS NYARIS MAUT DALAM KEBAKARAN
DUA BUAH RUMAH DAN KERETA MUSNAH, RUMAH BERHAMPIRAN BERJAYA DISELAMATKAN
LIPIS: Kejadian kebakaran nyaris meragut nyawa seorang warga emas berusia 74 tahun antara tiga orang yang cedera dalam kejadian kebakaran yang berlaku di dua buah rumah di Kampung Berhama, Merapoh, pada jam 9.45 pagi tadi.
Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Sharulnizam Nasir berkata, terdapat lapan orang yang menghuni rumah tersebut tetapi hanya tiga orang sahaja mengalami kecederaan melecur.
Katanya, warga emas itu, Daud Umat, 74 melecur 10 peratus di bahagian kepala, belakang badan dan kaki, Mohd Fadli Mansor, 44 melecur di bahagian tangan manakala Siti Fatimah Daud 38, melecur di bahagian tangan.
Sharulnizam berkata, seorang pegawai dan 18 anggota bomba bomba dari Balai Bomba Kuala Lipis, Gua Musang dan Merapoh bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan.
“Semasa sampai di lokasi kebakaran, dua buah rumah dan sebuah kereta telah hampir hangus dan tiada mangsa terperangkap, mujur tiada kemalangan jiwa.
“Pasukan Bomba melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran hose 200 kaki, 2 pancutan dan 2 aliran hose reel serta menggunakan air dari tangki pam jentera bomba,” katanya.
Beliau berkata dua buah rumah dan kereta tersebut musnah sepenuhnya dan sebuah rumah berhampiran berjaya diselamatkan dari dijilat api.
Katanya, mangsa warga emas itu berjaya di bawa keluar oleh anak dan menantunya yang turut melecur, mangsa yang melecur dibawa ke Klinik Kesihatan Merapoh oleh orang kampung untuk mendapat rawatan.