WARGA EMAS 72 TAHUN HILANG DITEMUI DI SUNGAI LUBUK TELOR
WARGA EMAS 72 TAHUN HILANG DITEMUI DI SUNGAI LUBUK TELOR
LIPIS: Seorang warga emas wanita berusia 72 tahun yang dilaporkan hilang di sekitar Kampung Tanjung Jati, Kuala Lipis, semalam, ditemui orang awam kira-kira 1 kilometer dari rumah mangsa pada jam 5.45 petang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Azli Mohd Noor berkata, pada jam 5.00 petang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan ekoran cuaca gelap dan bakal disambung keesukan harinya.
“Pihak kami menerima maklumat daripada orang awam sejurus operasi ditangguhkan mengatakan telah menjumpai mayat mangsa di tebing Sungai Lubuk Telor, di sini, kira-kira 1 kilometer dari tebing sungai belakang rumah mangsa.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat, suami mangsa, Husin Amannadin membuat pengecaman dan mengesahkan mayat tersebut adalah isterinya, pada jam 7.15 petang, hari ini, ”katanya.
Katanya, semalam, anak mangsa yang hilang, Aniza Husin telah membuat laporan polis bagi memaklumkan ibunya, Zaradah Othman tiada di rumahnya.
PDRM menjalankan operasi mencari dan menyelamat dijalankan mulai jam 5.35 petang bersama penduduk kampung tersebut dan operasi mencari dihentikan pada jam 7.30 petang semalam disebabkan cuaca gelap dan bersambung pada jam 8.00 pagi ini.
“Pada hari ini unit anjing pengesan (K9) telah tiba di sini untuk memberi bantuan mencari bermula di rumah mangsa yang hilang itu,”katanya.
“Wanita berusia 72 tahun itu, mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, penglihatan kabur serta tidak gagah untuk berjalan dan memerlukan bantuan untuk bergerak,” katanya.
Katanya, gerakan mencari mangsa melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 10 orang; Unit K9, 3 anggota dan 2 ekor anjing; Pasukan Bomba dan Penyelamat seramai 5 orang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 5 orang ditamatkan. –SAHIH.