WARGA EMAS 72 TAHUN HILANG DI LIPIS
WARGA EMAS 72 TAHUN HILANG DI LIPIS
LIPIS: Seorang warga emas wanita berusia 72 tahun yang dipercayai keluar dari rumah dilaporkan hilang, kejadian berlaku di Kampung Tanjung Jati, Kuala Lipis, kira-kira jam 1.00 tengah hari, semalam.
Anak mangsa yang hilang, Aniza Husin telah membuat laporan polis bagi memaklumkan ibunya, Zaradah Othman tiada di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Lipis, Azli Mohd Noor berkata, sejurus menerima laporan tersebut, operasi mencari dan menyelamat dijalankan mulai jam 5.35 petang bersama penduduk kampung tersebut.
“Operasi mencari dihentikan pada jam 7.30 petang disebabkan cuaca gelap, operasi bersambung hari ini pada jam 8.00 pagi.
“Pada hari ini unit anjing pengesan (K9) telah tiba di sini untuk memberi bantuan mencari bermula di rumah mangsa yang hilang itu,”katanya.
Azli berkata, mangsa kali terakhir dilihat oleh jirannya berada di kawasan rumahnya pada jam 10.00 pagi, semalam dan sehingga sekarang masih tidak ditemui.
“Wanita berusia 72 tahun itu, mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, penglihatan kabur serta tidak gagah untuk berjalan dan memerlukan bantuan untuk bergerak,” katanya.
Katanya, gerakan mencari mangsa ketika ini masih diteruskan melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 10 orang; Unit K9, 3 anggota dan 2 ekor anjing; Pasukan Bomba dan Penyelamat seramai 5 orang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 5 orang. –SAHIH.