WARGA ASING BELI DOKUMEN PALSU UNTUK RENTAS NEGERI
WARGA ASING BELI DOKUMEN PALSU UNTUK RENTAS NEGERI
BENTONG: Dua lelaki warganegara asing menggunakan dokumen rentas negeri palsu yang dibeli dengan harga RM200 dan empat orang tempatan ditahan serta dikompaun di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Bentong menghala ke Kuantan, pada jam 1.30 petang, semalam.
Pegawai dan anggota polis Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menahan sebuah bas ekspres dari Pulau Pinang menuju ke Kuantan, hasil pemeriksaan mendapati warga asing berusia 24 dan 27 tahun yang agak meragukan telah diperiksa dan didapati mengguna dokumen yang dipalsukan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan dokumen yang diguna oleh warga asing itu telah disalin semula dan digunakan kembali.
“Pihak kami menghubungi balai polis yang mengeluarkan borang rentas negeri tersebut dan didapati tidak mengeluarkan borang rentas negeri yang ditunjukkan kepada pihak polis.
“Hasil temubual dengan kedua-dua suspek itu, borang tersebut diperolehi daripada seorang rakannya bernama Mezah dengan bayaran RM200 sehelai, selain itu, kedua-dua suspek itu turut tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah (pasport).
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan sebatan.
“Manakala seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959 pula, dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-dua sekali dan turut boleh dikenakan 6 kali sebatan,”katanya.
Sehubungan dengan itu, empat lagi kompaun dikeluarkan kepada penumpang bas berusia antara 21 hingga 37 tahun yang menghala ke pantai timur, kesemua penumpang itu dikompaun di bawah Akta Peraturan 25 (A) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000.
Katanya, pihak polis tidak akan teragak-agak mengetatkan pemeriksaan di semua sekatan jalan raya antara negeri di daerah itu yang melibatkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan bagi mengekang wabak Covid-19.-SAHIH.