WANITA TERTUA DI EROPAH PULIH COVID-19
WANITA TERTUA DI EROPAH PULIH COVID-19
TOULON, PERANCIS: Individu tertua di Eropah yang hidup dalam tempoh dua perang dunia, Sister Andre, menyambut kelahirannya ke-117 hari ini selepas pulih daripada COVID-19 bulan lalu.
Wanita itu dirai dalam sambutan khas termasuk dijamu dengan sajian pencuci mulut kegemarannya, Baked Alaska.
Dilahirkan sebagai Lucile Randon pada 11 Februari 1904, Sister Andre tidak menyedari dirinya dijangkiti COVID-19, yang turut meragut 10 nyawa selepas virus itu menjangkiti 81 penghuni rumah jagaan di Tenggara Toulon.
“Saya dimaklum bahawa saya dijangkiti. Saya sangat letih, itu benar, tetapi saya tidak menyedarinya,” kata anggota komuniti agama wanita itu.
Jurucakap rumah jagaan Sainte-Catherine-Laboure, David Tavella, memberitahu Andre menempuh tiga pengasingan, di kerusi roda, di biliknya dan tanpa lawatan.
Andre memberitahu tidak akan melakukan sesuatu yang istimewa sempena ulang tahun kelahirannya ke-117 namun rumah jagaan itu merancang sambutan untuknya.
Katanya, makanan kegemarannya adalah udang galah dan dia turut menikmati segelas wain.
“Saya minum segelas wain setiap hari,” katanya.
Dilahirkan di Ales dalam keluarga Protestan dan satu-satunya anak perempuan daripada tiga beradik.
Antara kenangan terindahnya adalah kepulangan dua adik beradik lelakinya pada akhir perang dunia pertama.
“Jarang sekali, dalam setiap keluarga, biasanya ada dua yang mati dan bukannya dua yang masih hidup. Mereka berdua pulang,” katanya kepada AFP.
GAMBAR IHSAN AFP
Beliau berfahaman Katolik dan memeluk Kristian pada usia 26 tahun sebelum menyertai anggota komuniti agama wanita, Daughter of Charity pada usia 41 tahun.
Andre kemudian ditugaskan ke sebuah hospital di Vichy dan bekerja selama 31 tahun di sana, kemudian menghabiskan 30 tahun di rumah jagaan di Pergunungan Alpen, Perancis sebelum berpindah ke Toulon.
Beliau adalah warga emas kedua tertua yang hidup di dunia, menurut Kumpulan Pengkaji Gerontology, selepas wanita Jepun, Kane Tanaka, berusia 118 tahun.
Ditanya nasihatnya kepada anak muda, beliau berkata: “(Sentiasa) berani dan tunjukkan sikap belas kasihan.”