Wanita Tersepit Dalam Kemalangan di LPT, Tiga Lagi Mangsa Selamat
Wanita Tersepit Dalam Kemalangan di LPT, Tiga Lagi Mangsa Selamat
TEMERLOH – Seorang wanita cedera selepas tersepit dalam kenderaan yang dinaikinya bersama tiga individu lain dalam satu kemalangan di Kilometer 102, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Timur, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 11.22 pagi itu, mangsa bersama dua wanita dan seorang kanak-kanak menaiki sebuah Proton Exora sebelum kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab mendapati seorang wanita tersepit di tempat duduk hadapan, manakala tiga lagi mangsa telah berjaya keluar sendiri.
“Operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas, dan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.-SAHIH