Wanita parah dirempuh kayu balak jatuh dari lori terbalik
Foto : Kemalangan yang berlaku di lampu Isyarat KFC, di sini. FOTO Ihsan pembaca
Wanita parah dirempuh kayu balak jatuh dari lori terbalik
Gua Musang: Seorang wanita cedera parah dirempuh kayu balak dari lori yang terbalik di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.23 pagi itu, sebuah lori membawa muatan kayu balak dikatakan terbalik ketika melalui persimpangan lampu isyarat itu menyebabkan Siti Norelyana Kamaruzan, 21, yang menunggang motosikal tercampak dirempuh salah satu kayu balak yang jatuh.
Difahamkan ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai jurujual dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang manakala lori balak berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lipis.
Tunang mangsa, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, berkata dia menerima panggilan daripada seorang rakan yang kebetulan berada di tempat kejadian.
Katanya, sejurus menerima maklumat kejadian, dia bergegas ke Hospital Gua Musang (HGM) dan dilaporkan dalam keadaan tidak stabil.
“Saya sempat melihat keadaan tunang yang menerima rawatan di Unit Kecemasan dan doktor memaklum dia tidak stabil.
“Sehingga kini saya masih terkejut dengan kejadian yang berlaku. Saya mengharapkan doa daripada orang ramai supaya tunang selamat,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian yang berlaku.
Tular satu video berdurasi 2.33 minit itu memaparkan seorang wanita yang berhenti di lampu Isyarat sebelum lori muatan balak terbalik dan merempuh motosikalnya menyebabkan mangsa tersepit di antara sebuah trak pikap dengan kayu balak.
Pengguna jalan yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya membantu mengalihkan trak pikap berkenaan sebelum mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans.
Sumber : Harian Metro