WANITA PARAH DIHEMPAP PINTU PAGAR BESI DAN KERETA
WANITA PARAH DIHEMPAP PINTU PAGAR BESI DAN KERETA
Kota Kinabalu, Sabah: Seorang pembantu rumah wanita cedera parah dihempap pintu pagar besi dan kereta yang merempuh rumah majikannya di Taman Luyang di sini, pagi ini.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, wanita berusia 41 tahun itu dihempap kira-kira 10 minit oleh pintu pagar besi dan kereta Proton Saga berkenaan sebelum diselamatkan anggota bomba.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.25 pagi.
Katanya, enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta hilang kawalan yang melanggar pagar rumah kemudiannya menghempap seorang wanita.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah diberikan rawatan awal oleh pasukan ERMS sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor HM online
Affendy berkata, pasukan operasi terpaksa menggunakan alat pemotong khas bagi mengalihkan pagar besi yang menghempap mangsa.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.58 pagi. Pemandu kereta iaitu lelaki berusia 47 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.