Wanita maut kemalangan ngeri di LPT1
Wanita maut kemalangan ngeri di LPT1
BENTONG – Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 80.8 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ong Lee Lee, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan berhubung kejadian terbabit.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Persona yang dipandu mangsa seorang diri dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebuah lagi kenderaan di hadapannya.
Menurut Zaiham, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan cuai atau berbahaya.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis sedang giat mengesan kenderaan yang terlibat dalam pelanggaran itu bagi melengkapkan siasatan.