Wanita maut dilanggar, diseret kereta
Wanita maut dilanggar, diseret kereta
JOHOR BAHRU – Seorang wanita maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta lalu terjatuh dan dilanggar pula oleh sebuah kereta lain serta diheret sejauh 10 meter di Kilometer 19 Lebuhraya Pasir Gudang, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian jam 8 malam itu melibatkan motosikal Suzuki Smash ditunggang mangsa yang berusia 41 tahun dan kereta Perodua Kelisa, Toyota Camry dan Proton Persona.
“Kemalangan itu berlaku semasa wanita berkenaan menunggang bersendirian di lorong kiri dari arah Pasir Gudang menghala ke Perling. Sampai di tempat kejadian tiba-tiba penunggang motosikal itu mengubah haluan ke kanan.
“Pemandu Perodua Kelisa yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan motosikal mangsa.
“Akibatnya penunggang motosikal itu terjatuh di lorong kanan. Pemandu Toyota Camry yang berada di belakang melihat kejadian telah memberhentikan kenderaan juga di lorong kanan dengan tujuan membantu penunggang motosikal itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Namun, tidak lama kemudian datang Proton Persona juga dari lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar Toyota Camry dan mengheret mangsa sejauh 10 meter.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II, Sufian Md. Lis berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada jam 9.34 malam,lapor HM online
Seramai lapan anggota berserta dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Toyota Camry dinaiki dua individu, manakala Proton Persona dinaiki enam orang dan kesemua mereka selamat dalam kemalangan tersebut,” katanya.
Operasi tersebut tamat jam 10.29 malam.