WANITA MAUT DIBAHAM HARIMAU KETIKA BERSIHKAN KANDANG
WANITA MAUT DIBAHAM HARIMAU KETIKA BERSIHKAN KANDANG
SANTIAGO: Seorang wanita maut dibaham harimau ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kandang haiwan itu di sebuah taman safari di Chile.
Lapor The Sun, Catalina Torres Ibarra yang merupakan pekerja di Taman Safari Rancagua meninggal dunia di tempat kejadian selepas diserang oleh seekor harimau.
Beberapa rakan sekerja Ibarra mendakwa mangsa memasuki kawasan menempatkan harimau tersebut tanpa menyedari kandang haiwan itu tidak ditutup.
Pihak berkuasa memaklumkan mangsa berusia 21 tahun itu mengalami luka di lehernya akibat serangan harimau.
Seorang rakan sekerja mangsa, Leonardo Maluenda mendakwa Ibarra tidak dimaklumkan mengenai pintu kandang harimau itu terbuka.
“Mereka hanya memberitahu anda untuk lebih berhati-hati jika sedang membersihkan kandang harimau yang terbuka tetapi tidak langsung memberi amaran,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kewangan taman safari itu, Antonio Rojas mendakwa sekumpulan pekerja secara sengaja membuka kandang harimau itu sehingga menyebabkan insiden itu berlaku.
Katanya, tindakan pekerja tersebut melanggar protokol taman safari tersebut.
Bagaimanapun, pekerja berkenaan menafikan tuduhan itu dengan mendakwa kandang harimau itu sememangnya berada dalam keadaan tidak ditutup ketika kejadian.
Dilaporkan, Ibarra bekerja di taman safari itu lebih dua tahun, lapor Agensi
Taman safari itu ditutup sementara bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung kejadian.
Setakat ini, keadaan harimau itu tidak diketahui.