Wanita masih berpantang Maut Dilanggar Selepas Tercampak Dari Kereta Akibat Kemalangan
Wanita masih berpantang Maut Dilanggar Selepas Tercampak Dari Kereta Akibat Kemalangan
TEMERLOH – Seorang wanita yang masih dalam keadaan berpantang maut selepas kereta dipandu suaminya terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 124, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Adzlin Zarina Mohd Rosmizal, 23, mengalami kecederaan parah selepas tercampak keluar dari kereta dipandu Rosmizal Mat Lia, sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam itu berlaku ketika mangsa menaiki kereta jenis Honda Jazz dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Jerantut.
Apabila tiba di tempat kejadian kereta jenis Honda Jazz dikatakan melanggar bahagian kanan belakang sebuah lori sebelum hilang kawalan dan berpusing sebelum terbabas di bahu jalan sebelah kiri.
“Pemandu dan penumpang kereta tercampak keluar daripada kenderaan dan pada masa sama sebuah kereta jenis Perodua Myvi melanggar penumpang yang tercampak di lorong kiri jalan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta pula cedera di bahagian kepala dan paha.
Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat manakala mangsa cedera dirawat di hospital sama.
Sementara itu, seorang ahli keluarga terdekat mangsa memaklumkan Adzlin Zarina baru habis berpantang sebelum terbabit dalam kemalangan maut itu.
“Anak pasangan itu yang berusia 44 hari terselamat kerana masih berada di rumah bapa Rosmizal di kampung,” katanya.-SAHIH