Wanita Malaysia jual nasi lemak di Amsterdam
Foto atas : Kak Ann (kiri) bersama kumpulan pelancong dari Malaysia menempah nasi lemaknya baru-baru ini.
Wanita Malaysia jual nasi lemak di Amsterdam
Seorang suri rumah wanita Malaysia berusia 40-an menjadikan jualan nasi lemak Amsterdam sebagai mata pencarian sampingannya.
Beliau, Solehan Ramli berasal dari Pulau Pinang berhijrah ke negara “Kincir Angin” itu selepas bertemu jodoh dengan lelaki negara itu ketika bertugas di Kuala Lumpur.
“Setelah berpindah ke negara ini, mulanya saya memasak untuk keluarga kemudian menjamu sahabat handai, rupanya masakan nasi lemak negara kita dapat diterima oleh penduduk tempatan Belanda selain rakyat Malaysia di sini.
Solehan Ramli (kiri) lebih mesra disapa Kak Ann bersama salah seorang pelancong dari Malaysia di Amsterdam baru-baru ini.
“Malah, ada yang rakyat negara ini menempah untuk majlis kecil-kecilan dan baru-baru ini banyak tempahan diterima untuk sambutan hari raya seperti nasi lemak dan rendang,” katanya ketika ditemui di Armsterdam.
Beliau lebih popular dengan panggilan Kak Ann Nasi Lemak Rendang Amsterdam menerima tempahan melalui aplikasi WhatsApp atau media sosial Facebook dan Instagram termasuk panggilan telefon.
“Saya juga menerima tempahan daripada syarikat pelancongan dari Malaysia ke negara ini untuk kumpulannya termasuk pelajar Malaysia yang merindui makanan kita (Malaysia).
“Suami dan dua anak saya juga amat menggemari makanan Malaysia, kadang-kala suami yang lebih-lebih mahu masakan Melayu,” katanya.
Katanya, itulah permulaan beliau mula berkecimpung dalam perniagaan itu apabila rakan-rakan warga Malaysia memintanya menyediakan masakan popular Malaysia khususnya nasi lemak dan rendang.
“Di samping itu untuk memenuhi masa lapang sebagai suri rumah tangga sepenuh masa dan dua anak saya sudah besar.
“Saya turut menyimpan hasrat membuka restoran makanan Malaysia dan sentiasa mendapat sokongan moral daripada suami,” katanya.
Beliau yang berkahwin dengan Jan Willem Manger tinggal di bandar Roumpt yang terletak kira-kira 50 minit dari ibukota Belanda akan pulang ke tanah air bulan Ogos ini .
“Rindu..sudah pasti, terutama makanan tradisi Malaysia, lepak di kedai mamak, suasana Malaysia yang sudah menjadi darah daging saya dan menemui ahli keluarga saya,” katanya. – SAHIH.