WANITA LEMAS, KERETA TERJUNAM KE SUNGAI SARAWAK
WANITA LEMAS, KERETA TERJUNAM KE SUNGAI SARAWAK
KUCHING: Seorang wanita ditemui lemas selepas keretanya terjunam ke dalam Sungai Sarawak di jeti bersebelahan Jambatan Tun Abdul Rahman Yakub, di Satok, hari ini.
Mayat mangsa ditemui anggota penyelam bomba di dalam keretanya di dasar sungai berkenaan jam 12.50 tengah hari.
Bagaimanapun, identiti wanita berkenaan belum dikenal pasti dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian sebuah kereta menjunam ke dalam sungai itu pada jam 10.30 pagi, lapor BH Online.
GAMBAR IHSAN JBPM SARAWAK
Sejurus menerima panggilan, katanya, 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandungan dikerah ke tempat kejadian.
“Operasi pencarian diaktifkan dengan bantuan anggota penyelam dan operasi lebih mudah kerana ada saksi di tempat kejadian sempat mengikat tali pada bahagian kereta berkenaan dan menanda lokasi sebelum kenderaan itu tenggelam.
“Mayat mangsa iaitu seorang wanita tua ditemui di dalam kereta tetapi identiti belum dikenal pasti,” katanya di lokasi kejadian.
Sementara itu, saksi kejadian iaitu pekerja syarikat pembersihan Sungai Sarawak, Boniface Jongsim, 24, berkata dia menyedari kereta itu sudah berada di dalam sungai kira-kira jam 10.20 pagi tadi.
“Ketika itu, saya bersama beberapa rakan sedang menaiki bot mengutip sampah di sungai dan apabila saya melihat ke arah jeti di seberang sungai, sebuah kereta sedang hanyut di permukaan.
“Saya segera menghidupkan enjin bot dan menghampiri kereta itu dan cuba membuka pintu tetapi gagal.
“Saya kemudian mengikat tali pada kereta itu untuk menariknya ke tepi, namun kereta itu tenggelam,” katanya.
GAMBAR IHSAN JBPM SARAWAK
Boniface berkata, dia kemudian mencapai hujung tali itu seterusnya dijadikan penanda lokasi kereta bagi memudahkan pasukan penyelamat mencarinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, identiti mangsa belum diperoleh dan siasatan sedang dijalankan.
“Saya masih menunggu laporan penuh kejadian,” katanya ketika dihubungi.