WANITA KURANG SIUMAN CUCUK KEPALA TANGAN KANAK-KANAK DENGAN GARPU
WANITA KURANG SIUMAN CUCUK KEPALA TANGAN KANAK-KANAK DENGAN GARPU
PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan cedera di kepala dan tangan akibat diserang seorang wanita yang disyaki kurang siuman menggunakan garpu semalam.
Ketika kejadian pada 8 pagi di Taman Mount Austin, Johor Bahru, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dipercayai berada di luar bangunan pusat tuisyennya, lapor Berita Harian.
Polis Johor Bahru Selatan menerima laporan berhubung kejadian itu yang dibuat bapa mangsa, menurut ketua polis daerah, Mohd Padzli Mohd Zain, dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bapa mangsa melaporkan anak perempuannya didatangi seorang wanita yang kemudian mencucuk kanak-kanak itu dengan garpu.
“Wanita itu mencucuk anak perempuan pengadu menggunakan garpu sehingga menyebabkan cedera pada bahagian kepala dan tangan, kemudian melarikan diri.
“Suspek yang tidak dikenali itu dipercayai kurang waras,” katanya.
Padzli berkata, polis dalam usaha mengesan suspek ketika ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.