WANITA KEMATIAN TIGA ANAK DALAM NAHAS ‘DITIDURKAN’
IPOH: Ibu kepada tiga kanak-kanak lelaki yang maut dalam nahas di Kilometer 272.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kelmarin kini ditidurkan sementara menunggu keadaannya stabil sepenuhnya, bagi membolehkan pembedahan dilakukan.
Memetik laporan BH Online, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah, berkata kecederaan dalaman dialami Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, termasuk pendarahan di bahagian hati membuatkan beliau kini perlu bergantung kepada bantuan alat pernafasan.
Kemalangan yang menyebabkan Nur Aimi Nadiah mengalami cedera parah itu difahamkan turut mengakibatkan tulang rusuknya patah.
“Mangsa masih tidak sedarkan diri dan keadaannya kini dipantau rapi oleh pasukan perubatan. Pembedahan ke atas Nur Aimi Nadiah hanya akan dilakukan selepas keadaannya dipastikan benar-benar stabil.
“Buat masa sekarang mangsa ‘ditidurkan’ sementara menunggu keadaannya stabil sepenuhnya sebelum pembedahan dapat dijalankan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Semalam, media melaporkan Nur Aimi Nadiah berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, pagi semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang kelmarin, Nur Aimi Nadiah, cedera parah, manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy 1, maut di lokasi kejadian.
Ia selepas Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah yang turut dinaiki tiga anak lelakinya nya itu terbabas sendiri sebelum melanggar belakang treler di laluan kecemasan.