WANITA ISRAEL DITUDUH MELAKUKAN PENDERAAN SEKSUAL
WANITA ISRAEL DITUDUH MELAKUKAN PENDERAAN SEKSUAL
MELBOURNE: Seorang bekas pengetua di sebuah sekolah Yahudi ultra ortodoks muncul di mahkamah Australia hari ini, beberapa jam selepas dia diekstradisi dari Israel untuk berdepan tuduhan penderaan seksual kanak-kanak.
Malka Leifer, warga Israel berusia 50-an, dituduh melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak ketika bertugas sebagai guru pendidikan agama dan pengetua di Adass Israel School di Melbourne antara tahun 2004 dan 2008.
GAMBAR HIASAN
Dengan mengenakan penutup kepala berwarna putih dan pelitup muka biru, wanita itu muncul di pautan video di mahkamah Melbourne dan direman dalam tahanan.
Leifer menundukkan kepalanya sepanjang pendengaran kes ringkas itu dan kekal diam ketika dipanggil majistret.
Dia berdepan 74 pertuduhan termasuk rogol, serangan tidak senonoh dan penderaan seksual kanak-kanak yang didakwa berlaku antara 2004 dan 2008, menurut dokumen rasmi.
Peguamnya, Tony Hargreaves tidak memohon sebarang jaminan namun meminta anak guamnya dipindahkan secepat mungkin dari tahanan polis ke penjara yang mempunyai lebih banyak kemudahan susulan masalah kesihatan mental ketara dialami tertuduh.
Leifer meninggalkan Australia dan pulang ke Israel selepas dakwaan terhadapnya timbul pada tahun 2008, yang mana dia berpindah bersama keluarganya ke penempatan Emmanuel di Tebing Barat yang dikuasai rejim Israel.
Pihak berkuasa Australia membuat pendakwaan pada 2012 dan meminta dia diekstradisi dua tahun kemudian.
Dia tiba di Melbourne melalui penerbangan pada Rabu lalu, selepas enam tahun bertelingkah mengenai undang-undang di Israel, termasuk sama ada dia berpura-pura sakit jiwa untuk mengelakkan perbicaraan di Australia.
Mahkamah Agung Israel sebelum ini menolak rayuan terakhir peguamnya terhadap ekstradisi itu pada Disember lalu.
Percubaan ekstradisinya yang pertama gagal selepas Leifer dimasukkan ke institusi kesihatan mental dan pakar menyatakan dia tidak layak untuk berdepan perbicaraan.
GAMBAR HIASAN
Penyiasat peribadi yang menyamar kemudian merakamkan Leifer kelihatan menjalani kehidupan normal, mendorong pihak berkuasa Israel melakukan siasatan adakah dia memalsukan penyakit mental dialaminya hingga menyebabkan dia ditangkap semula pada Februari 2018.
Pendengaran komital kes wanita itu akan didengar semula di mahkamah pada 9 April depan.