WANITA DIDAKWA GUNA GELARAN TIDAK DIIKTIRAF
WANITA DIDAKWA GUNA GELARAN TIDAK DIIKTIRAF
KUANTAN: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas dakwaan menggunakan gelaran tidak diiktiraf.
Tertuduh, Sabariah Hashim,45, mengaku tidak bersalah sebaik pendakwaan dikemukakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim di hadapan Majistret Najwa Hashim.
Ibu kepada enam anak itu didakwa menggunakan gelaran dan panggilan ‘Datuk Seri Bakti Setia Temasek’ yang merupakan anugerah luar yang tidak diiktiraf.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, jam 3.30 petang pada 28 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, jika didapati bersalah.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd Azahari Mat Asin, meminta cadangan wang jaminan RM5,000 oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya, dikurangkan atas alasan tertuduh menyara enam anak dan seorang ibu yang sudah tua dan uzur.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Sabariah diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula 9 Jun depan.- SAHIH