Wanita cemas sesat dalam kebun getah peluk polis
Foto atas: Wanita cemas memeluk seorang anggota polis wanita
Wanita cemas sesat dalam kebun getah peluk polis
BENTONG – Pihak polis Bentong bertindak daripada maklumat orang awam memaklumkan bahawa sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita sesat masuk ke kawasan kebun getah.
Sepasukan polis dari Balai Polis Karak, Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong diketuai Sarjan Zachary Adams a/k Singkin, Kopral Norsiah Mahammud, Kopral Kamarullzaman Shafi’e, Kopral Muhamad Hafiz Mohd Hasan dan Konstabel Alif Ikbar Abdul Rashid telah ke lokasi lebih kurang jam 7.10 pagi, Selasa lalu.
Setelah sampai di lokasi, didapati seorang wanita warganegara tempatan berusia 33 tahun dalam keadaan cemas berada di dalam kereta dan tidak mahu membuka pintu kereta setelah anggota polis ingin membantunya.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, anggota polis telah bertindak menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Setelah anggota bomba berjaya membuka pintu kereta, mangsa terus memeluk anggota wanita Balai Polis Karak, Kopral Norsiah Mahammud sambil menangis teresak-esak,” katanya.
“Mangsa memaklumkan baru keluar wad dan dalam keadaan tertekan. Seterusnya mangsa dibawa ke Balai Polis Karak,” katanya.
Katanya, anggota Balai Polis Karak telah menghubungi keluarga mangsa untuk datang ke balai untuk mengambil mangsa.-SAHIH.