Wanita 60 tahun maut, kereta masuk gaung di Sungai Yu,Maran
Wanita 60 tahun maut, kereta masuk gaung di Sungai Yu, Maran
MARAN : Seorang wanita berusia 60 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Rush maut apabila kereta yang dipandunya terbabas ke dalam gaung dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Yu, Lubuk Jering dekat sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa dikeluarkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Sungai Jerik dan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi
“Operasi diketuai oleh Nor Dzaini Md Zin dengan enam orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka Pusat bersama sebuah kenderaan bergegas ke tempat sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.34 pagi hari ini.
“Di tempat kejadian , disahkan kemalangan berlaku dan anggota melakukan penugasan menaikkan mangsa ke atas dengan menggunakan tali dan peralatan pengusung daripada gaung sedalam 15 meter,” katanya melalui kenyataan media.
Katanya, mangsa dari arah Sungai Jerik menghala ke Maran itu berjaya dinaikkan ke atas dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH.