WANITA 46 TAHUN DITAHAN MILIKI PELANDUK
WANITA 46 TAHUN DITAHAN MILIKI PELANDUK
LANGKAWI: Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi bersama Jabatan Perhilitan Daerah Langkawi berjaya menahan seorang wanita berusia 46 tahun yang memiliki pelanduk semasa serbuan dijalankan di rumahnya di Mukim Ulu Melaka, semalam.
Op Bersepadu Khazanah yang dilakukan menjumpai sembilan ekor pelanduk jenis Tragulus Javanicus yang dipelihara di kawasan rumah wanita terbabit tanpa memiliki surat kebenaran daripada Jabatan Perhilitan bagi penyimpanan pelanduk tersebut.
Pasukan operasi telah merampas kesemua pelanduk berkenaan dan dibawa ke Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Said berkata, wanita tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan dan anggaran keseluruhan nilai rampasan bernilai kira-kira RM 1,500 dan kes disiasat mengikut Sek. 60 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Untuk pengetahuan orang ramai, Pulau Langkawi diiktiraf sebagai Protected Area (PA) iaitu tempat yang dilarang untuk menjalankan aktiviti memburu dan memiliki hidupan liar.
“Sekiranya ingin memiliki dan memburu perlu membuat permohonan lesen atau kebenaran daripada Jabatan Perhilitan terlebih dahulu bagi binatang yang termaktub di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,”katanya.