Wanita 39 tahun terkandas di Kem Berlumut, Merapoh, diselamatkan bomba guna helikopter
Foto atas : Seramai 5 anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) membawa keluar mangsa dengan helikopter dan dihantar ke Hospital Gua Musang, tengah hari ini.
Wanita 39 tahun terkandas di Kem Berlumut, Merapoh, diselamatkan bomba guna helikopter
LIPIS – Seorang wanita berusia 39 tahun terkandas kerana terlalu penat untuk meneruskan pendakian di Kem Berlumut, Gunung Tahan, telah berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Gua Musang pada tengahari, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, wanita itu, Nadia Azmi dari Putrajaya bersama sekumpulan 21 orang pendaki lain memulakan ekspedisi mendaki pada 27 Julai melalui Merapoh.
Dengan dipandu tiga orang Malim Gunung dari Kuala Juram ke Kem Berlumut sejauh kira-kira 21 kilometer, tiba-tiba salah seorang dari mereka mengalami kehilangan keupayaan untuk menerus pendakian.
Wanita tersebut telah berjaya dibawa keluar dengan helikopter dan terus mendarat di Balai Bomba Gua Musang sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Terdahulu seramai 5 anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) telah naik ke Kem Berlumut untuk memberi bantuan awal kepada mangsa.-SAHIH.