WAN ROSDY PESAN PEMIMPIN JANGAN MAIN POLITIK PERSEPSI
WAN ROSDY PESAN PEMIMPIN JANGAN MAIN POLITIK PERSEPSI
LIPIS – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menasihatkan semua pihak agar tidak terjebak dengan permainan persepsi negatif di media sosial yang boleh menggugat keharmonian dan tumpuan terhadap pembangunan negeri.
Beliau berkata, rakyat kini semakin bijak menilai dan tidak mudah termakan dengan dakyah yang cuba menimbulkan kebencian terhadap kepimpinan negeri.
“Saya tengok ramai netizen memberi komen negatif, malah ada yang sanggup menabur fitnah seperti mendakwa saya hanya turun ke Jelai ketika ada program tertentu. Itu tidak benar sama sekali,” katanya.
Menurutnya, tuduhan sebegitu tidak berasas kerana sokongan rakyat terhadap kepimpinannya meningkat pada setiap pilihan raya disebabkan kepercayaan kepada usaha kerajaan negeri memajukan kawasan luar bandar.
“Saya lebih suka pendekatan kasih dan cakna rakyat, bukan cara ‘hogoh’ atau memaksa. Kita bantu mengikut kemampuan dan masa yang sesuai, bukan dengan paksaan,” katanya.
Wan Rosdy menjelaskan, pendekatan ‘Kasih Cekal’ yang diamalkan kerajaan negeri bertujuan mendekati rakyat dengan kasih sayang dan keprihatinan, berbeza dengan tindakan agresif pihak tertentu.
“Kalau orang ‘hogoh’ pokok yang belum masak, buah yang gugur pun belum elok dimakan. Begitu juga kalau kita paksa rakyat terima sesuatu dengan cara keras, akhirnya kita sendiri rugi,” katanya.
Beliau turut memberi peringatan kepada semua pemimpin supaya tidak membalas provokasi politik dengan tindakan serupa kerana ia hanya menjejaskan imej kepimpinan.
“Kalau orang gila lempang kita dan kita lempang balik, akhirnya kita pun nampak sama gila. Jadi lebih baik kita diam dan terus buat kerja,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus fokus terhadap pembangunan rakyat, kesejahteraan daerah serta memastikan Pahang kekal stabil, makmur dan sejahtera.-SAHIH