Wakil rakyat perlu selesai isu lampu jalan FELDA Kemasul
Wakil rakyat perlu selesai isu lampu jalan FELDA Kemasul
BENTONG – Penduduk di FELDA Kemasul, dekat Pelangai berharap wakil rakyat dipilih pada 7 Oktober ini dapat menyelesaikan masalah lampu jalan di sepanjang laluan masuk kawasan tanah rancangan itu.
Menurut penduduk, laluan itu menjadi jalan utama penduduk, termasuk pelajar yang menghadiri kelas tuisyen pada sebelah malam.
Difahamkan laluan itu sepanjang 11 kilometer dan tidak mempunyai lampu jalan sejak sekian lama.
Seorang penduduk, Mohd Khairy Mohd Rejab berharap perkara berkenaan menjadi fokus utama wakil rakyat jika menang dalam pilihan raya kecil (PRK) awal bulan depan.
“Jalan di sini memang gelap dan sangat perlukan lampu jalan.
“Bahaya kepada pelajar yang keluar untuk menghadiri tuisyen dan juga penduduk yang menggunakan jalan itu untuk membeli barangan keperluan pada waktu malam,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Naim Samsuddin turut berharap perkara itu menjadi keutamaan calon bertanding dalam PRK kali ini.
“Ini laluan utama untuk kami dari Kemasul menghala ke pekan Triang atau ke Simpang Pelangai.
“Kalau boleh pasang lampu jalan, mudahlah sikit, yang penting keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di sini.
“Saya harap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat mengambil perhatian terhadap keperluan kami,” katanya.- SAHIH