Wakil calon Tuan Ibrahim tidak dibenarkan masuk dewan hantar borang
Wakil calon Tuan Ibrahim tidak dibenarkan masuk dewan hantar borang
Foto atas : Saludin Endol (tengah) bersama pencadang, Muhaider Mohamed Kasim (kanan) dan penyokong, Mohd Shakri Yusoh di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis di sini hari ini.
LIPIS – Wakil calon Tuan Ibrahim Tuan Man, Saludin Endol tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan penamaan calon atas peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan wakil calon masuk ke dewan bagi menghantar borang penamaan calon.
Wakil itu tidak dibenarkan masuk semasa proses penamaan calon bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis di sini yang bermula jam 9 pagi ini, hari ini.
Calon Perikatan Nasional (PN) mewakili Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di DUN Cheka tidak dapat hadir kerana turut menghadiri penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kubang Kerian selaku penyandang kawasan tersebut.
Proses penamaan calon beliau cuma diwakili oleh pencadang, Muhaider Mohamed Kasim dan penyokong, Mohd Shakri Yusoh.
Tuan Ibrahim mencetuskan fenomena baharu dalam landskap politik Pahang apabila diumumkan oleh Majlis Tertinggi PN untuk bertanding di Dun Cheka pada PRU15.
Sementara itu, Saludin yang juga pernah bertanding di DUN Cheka pada PRU14 lalu memberitahu beliau memberi penghormatan kepada Tuan Ibrahim untuk bertanding di Dun Cheka kerana tokoh pas tersebut merupakan nama besar dalam arena politik tanah air khususnya dalam perjuangan Pas.
Saludin yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Kawasan Lipis berkata, selepas tewas pada PRU14 yang lalu beliau memilih untuk memperlahankan karier politiknya dan bergiat di belakang tabir perjuangan Pas.
“Selain itu saya juga ingin menumpukan perhatian pada keluarga selain turut mengisi masa lapang dengan berkebun,”katanya di Pusat Penamaan Calon (PPS) bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis di sini hari ini.-SAHIH