Wagyu Pahang Bukti Potensi Agro Premium Negeri
Wagyu Pahang Bukti Potensi Agro Premium Negeri
RAUB – Pahang melakar satu lagi pencapaian dalam sektor agromakanan apabila populasi lembu Wagyu di Ladang Ternakan Ruminan milik AGK Dairy Fresh Sdn Bhd, Bukit Kajang, meningkat daripada 161 ekor pada 2023 kepada 317 ekor tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan pesat itu membuktikan keberkesanan kerjasama antara syarikat berkenaan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kerajaan Negeri sejak projek tersebut dimulakan pada 2022.
Menurutnya, Projek Wagyu Pahang bukanlah “projek kayangan” tetapi strategi berimpak tinggi bagi membantu penternak tempatan menghasilkan baka premium bernilai tinggi.
“Kita mahu bukan sahaja menembusi pasaran tempatan, tetapi juga antarabangsa, khususnya negara Islam, dengan kelebihan pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf dunia,” katanya pada majlis perasmian ladang itu di sini, petang semalam.
Beliau berkata, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st, projek berkenaan diharap menjadi pemangkin ekonomi luar bandar, membuka peluang pekerjaan baharu serta menggalakkan penyertaan belia dan usahawan dalam industri ternakan berteknologi tinggi.

“Insya-Allah, dengan komitmen semua pihak, Projek Wagyu Pahang akan menjadi ikon kejayaan negeri dalam sektor agromakanan dan menyumbang kepada kemakmuran rakyat serta kelestarian ekonomi Pahang,” katanya.
Majlis turut disertai wakil-wakil agensi kerajaan dan pemain industri ternakan yang hadir bagi melihat potensi daging premium halal ini sebagai satu produk eksport bertaraf dunia.-SAHIH