COVID-19 KEKAL PADA WANG KERTAS, SKRIN SENTUH
LONDON: Koronavirus (COVID-19) mampu bertahan sehingga seminggu pada permukaan wang kertas dan skrin sentuh telefon pintar serta permukaan licin seperti cermin atau gelas.
Saintis dari Australian Centre for Disease Preparedness (ACDP) berkata, virus COVID-19 sangat mudah tersebar selain mampu bertahan sehingga 28 hari pada permukaan licin seperti cermin atau skrin sentuh pada telefon pintar serta wang kertas yang disimpan pada suhu 20 Celcius atau 68 Fahrenheit.
Virus itu bagaimanapun dikesan mulai lemah pada suhu 40 Celcius di permukaan tertentu, berdasarkan kajian diterbitkan dalam Virology Journal hari ini.
GAMBAR HIASAN
Kajian itu juga menyatakan bahawa virus COVID-19 boleh bertahan lebih lama pada suhu atau cuaca lebih sejuk dan sukar untuk dikawal pada musim sejuk.
“Hasil kajian dan penyelidikan kami mendapati virus COVID-19 bertahan dan boleh tersebar untuk jangka masa tertentu… jadi, amalan membasuh tangan secara kerap dan amalan kebersihan lain perlu diteruskan untuk tempoh yang panjang,” kata Debbie Eagles, Timbalan Pengarah ACDP melalui emel.
Virus COVID-19 mudah tersebar melalui kontak rapat dengan pesakit, terutamanya melalui partikel dibebaskan ke udara dengan batuk, bersin, bercakap, menyanyi dan melalui pernafasan.
Virus itu juga boleh mencemari udara sebaik sahaja ia dilepaskan dan secara tidak langsung mampu menjadi penyumbang utama kepada penyebaran COVID-19.