Video TikTok “Pahang Bubar DUN?” tular, ADUN kecam cubaan gugat kestabilan kerajaan
Video TikTok “Pahang Bubar DUN?” tular, ADUN kecam cubaan gugat kestabilan kerajaan
JERANTUT – Satu klip video TikTok berjudul “Pahang Bubar DUN?” yang tular di media sosial petang semalam menggemparkan rakyat Pahang apabila kandungannya disifatkan mengelirukan serta berniat jahat.
Tindakan menyebarkan video itu didakwa dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan memecah-belahkan perpaduan kerajaan Pahang serta mengganggu kestabilan pentadbiran negeri ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang, Haris Salleh Hamzah, menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai jijik dan tidak beretika, selain jelas bertujuan menggugat pentadbiran Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang disifatkan beliau sebagai stabil dan berprestasi baik.
“Ini perbuatan individu yang sudah hilang pertimbangan dan kehabisan modal untuk meruntuhkan kerajaan Pahang serta mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan Madani di negeri ini.
“Naratif buruk seperti ini cepat menular dalam kalangan mereka yang berniat mengeruhkan keadaan dan menimbulkan kekeliruan rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Haris, kandungan sebenar video berkenaan telah diputarbelitkan. Hakikatnya, klip itu memaparkan Menteri Besar Pahang sedang merafak sembah serta setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Ia adalah sempena Majlis Menghadap Pra Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (Pra-MMK) yang berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini, dan langsung tidak ada kaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Beliau menasihatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan maklumat palsu yang disebarkan di media sosial, sebaliknya menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayainya. -SAHIH.
