Varian Omicron, jejas pengunjung ke Taman Negara Kuala Tahan
Varian Omicron, jejas pengunjung ke Taman Negara Kuala Tahan
JERANTUT – Gara-gara varian Omicron, kehadiran pengunjung ke Taman Negara Kuala Tahan susut kira-kira 50 peratus sejak minggu ini dan sekali gus meresahkan pengusaha dan penggiat ekopelancongan di situ.
Perkara ini berlaku berkemungkinan kesan penularan wabak Omicron peringkat di peringkat global dan sehingga ini sudahpun menular di negara ini berasaskan laporan peningkatan wabak Covid-19 sudah mencecah kira-kira 27,000 kes.
Sebelum ini, kehadiran pengunjung mencapai hampir 100 peratus sejak Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 serta bermula tempoh perayaan Tahun Baharu Cina pada awal bulan ini, tetapi menurun sejak ancaman penularan Omicron di negara ini.
Kakitangan hospitaliti Kuala Tahan, Sabri Abdullah berkata, dia serta pengusaha pusat inap dan penggiat ekopelancongan di situ mengakui kesan peningkatan wabak Omicron di tempat lain seluruh negara antara punca penurunan bilangan pengunjung ke Kuala Tahan.
“Saya anggarkan sebanyak 50 peratus sahaja pengunjung ke sini sejak minggu lepas dan hari ini sebilangan kecil ada yang sudahpun keluar dari taman ini setelah menghabiskan cuti serta berwaspada dengan lonjakan wabak Omicron.
“Kemungkinan pengunjung yang bercadang untuk melawat ke sini hujung minggu ini mengambil sikap waspada dengan ancaman ini dan tunggu dan lihat terlebih dahulu supaya keadaan reda,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Pengusaha pusat inap Tahan Guest House, Norhasiyati Taharin berkata, pusat inap miliknya masih belum disinggahi pengunjung sejak dibuka awal bulan ini setelah ditutup hampir dua tahun berikutan penularan wabak Covid-19.
“Keadaan ini mungkin kesan varian Omicron yang melanda negara antara yang membantut kehadiran pengunjung ke Kuala Tahan serta mengakibatkan pusat inap desa menjadi sepi.
“Oleh kerana ketiadaan pengunjung minggu ini, saya dan suami membuat kerja-kerja pembersihan kawasan dan membaikpulih landskap sambil berharap ada pengunjung menginap hujung minggu ini kerana sesi percutian persekolahan bermula akhir minggu ini,” katanya.
Pemandu pelancong, Mohd Kamil Hakim Rozali turut terkesan dengan kekurangan kehadiran pelawat ke ke beberapa destinasi di sekitar Taman Negara dan pesisir Sungai Tembeling berikutan kesan varian itu yang turut menjejaskan mata pencariannya.
“Kami di sini reda dengan ujian Allah SWT sejak pandemik ini bermula pada tahun 2020 menyebabkan semua pemain industri ekopelancongan di sini terjejas pendapatan.
“Ancaman wabak Omicron menjadi punca pelawat kurang ke taman ini dan diharapkan cuti sekolah bakal bermula minggu hadapan dan diharapkan bakal berlaku peningkatan kehadiran pengunjung,” katanya.-SAHIH.