VAKSIN COVID-19 SELAMAT MENDARAT DI KLIA
VAKSIN COVID-19 SELAMAT MENDARAT DI KLIA
SEPANG: Kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech selamat tiba di Advanced Cargo Centre (ACC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo) pada jam 10 pagi, hari ini.
Malaysia akan mula melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Februari 2021 melalui tiga (3) fasa iaitu Fasa 1 (Februari – April 2021) untuk untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang, Fasa 2 (April – Ogos 2021) kepada kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta OKU melibatkan 9.4 juta orang.
Pada suntikan vaksinasi Fasa 3 (Mei 2021 – Februari 2022) untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Ismail Mohamad Said berkata, beliau berharap orang ramai menerima suntikan vaksinasi sebagai pelindung kepada diri sebagai memerangi Covid-19 yang menular dan hampir melumpuhkan negara di dunia sejak tahun lalu.
“Dari segi keselamatan penjagaan keselamatan vaksin yang tiba, pihak kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa menjaga dengan meletakkan pasukan keselamatan agar tidak diusik atau dicuri.
“MKN sudah mahir dan bersiap sedia sejak dulu lagi, bukan untuk pengurusan penjagaan vaksin tetapi sebaliknya sudah terbukti dalam menangani bencana seperti banjir berlaku baru-baru ini, “ katanya di Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan dan Ziarah Mangsa Banjir oleh MYAngkasa Amanah Berhad di Kuala Krau, hari ini.
Katanya, orang ramai jangan ragui dengan penyimpanan vaksin yang diterima seperti tercemar yang boleh mememudaratkan, pasukan MKN dan pasukan keselamatan telah merangka pengawasan yang cukup teliti dan rapi.
“Diharap semua yang layak diberikan suntikan vaksin mendaftar segera apabila pendaftaran dibuka dalam waktu yang terdekat dan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing seperti yang dijadualkan.
“Vaksinasi ini penting untuk kita semua bagi membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin dan secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19 ini daripada menjadi lebih teruk,” katanya.