VAKSIN COVID-19 CHINA LULUS UJIAN FASA PERTAMA
BEIJING: Vaksin COVID-19 China yang dibangunkan oleh Institut Biologi Perubatan di Akademi Sains Perubatan China terbukti selamat dalam percubaan klinikal peringkat awal.
Perkara itu didedahkan oleh para penyelidik dalam kajian yang dimuat naik menerusi laman perubatan Medrxiv.org, pada Selasa.
Menurut kajian itu, seramai 191 peserta yang berumur antara 18 dan 59 tahun terlibat dalam ujian fasa pertama, tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan yang teruk akibat vaksin tersebut.
Sebaliknya, para peserta hanya mengalami kesan sampingan biasa seperti kesakitan ringan, sedikit keletihan, kemerahan, gatal serta bengkak di kawasan suntikan.
Selain itu, peserta turut menghasilkan tindak balas imun.
“Semua data yang diperoleh pada peringkat percubaan ini menyokong keselamatan dan imunogenik terhadap vaksin tidak aktif.
“Selain itu, (kami) menyokong kajian lebih lanjut mengenai keberkesanan vaksin ini pada masa depan,” demikian menurut kajian tersebut memetik Reuters.
Setakat ini, China mempunyai sekurang-kurangnya empat vaksin yang berada di tahap akhir percubaan.