VAKSIN COMIRNATY BOLEH DIBERI KEPADA GOLONGAN 12 TAHUN DAN KE ATAS
VAKSIN COMIRNATY BOLEH DIBERI KEPADA GOLONGAN 12 TAHUN DAN KE ATAS
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan berumur 12 tahun dan ke atas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 yang bersidang hari ini.
Menurut beliau, vaksin Comirnaty sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari lalu digunakan bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas.
“Walaupun tambahan indikasi ini diluluskan, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, mesyuarat berkenaan juga bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana dua lagi produk vaksin satu dos pelalian, iaitu vaksin keluaran CanSino Biologics Inc dan dan vaksin Janssen Covid-19 keluaran Johnson & Johnson.
Kata beliau, vaksin keluaran CanSino Inc, China (pemegang pendaftaran produk: Solution Biologics Sdn. Bhd.) itu adalah atas jenama Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector).
Jelas beliau, vaksin Janssen Covid-19 pula diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (Emergency Use Listing atau EUL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Pendaftaran Janssen Covid-19 Vaccine yang diperoleh Kerajaan Malaysia melalui fasiliti COVAX ini dilaksanakan melalui mekanisme perakuan (recognition) ke atas kelulusan WHO EUL,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.
“KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD, lapor Utusan Online
“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran PICK,” katanya.