VAKSIN CHINA SELAMAT
VAKSIN CHINA SELAMAT
GENEVA: Dua vaksin buatan China, Sinovac dan Sinopharm selamat dengan tahap keberkesanannya baik, namun lebih banyak data diperlukan bagi tujuan itu.
Perkara itu dinyatakan pakar vaksin dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini, hasil daripada analisis sementara membabitkan data percubaan klinikal.
Sinovac dan Sinopharm, vaksin yang kini digunakan di beberapa negara sudah menyerahkan data untuk permohonan lampu hijau, senarai penggunaan kecemasan oleh WHO.
Agensi Kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu Kumpulan Penasihat Strategik Imunisasi (SAGE) berkata, pihaknya sudah mengkaji data itu sehingga kini.
Pihaknya mendapati kedua-dua vaksin itu menunjukkan tahap keselamatan dan keberkesanan yang baik, menentang simptom COVID-19
Bagaimanapun, pihaknya memberi amaran kedua-dua vaksin itu masih mengalami kekurangan data, membabitkan kumpulan penerima lebih berusia atau seseorang yang mempunyai penyakit atau masalah kesihatan lain.
“Pasca pengenalan keberkesanan vaksin dan kajian keselamatan diperlukan untuk melihat kesan terhadap kumpulan berkenaan,” menurut SAGE melalui inti pati penting yang disiarkan, selepas mesyuarat minggu lalu untuk membincangkan mengenai pembangunan vaksin melawan pelbagai penyakit.
Dua vaksin itu antara empat yang dibangunkan oleh China dan diluluskan oleh pihak berkuasa negara itu, sehingga kini namun SAGE menyifatkan ia belum melepasi badan pengawalan yang ketat, seperti ditakrifkan WHO.
SAGE yang menasihati WHO terhadap dasar imunisasi berkata, pihaknya tidak akan mengeluarkan cadangan mengenai penggunaan vaksin dari China, sehingga panel pakar meluluskan permohonan senarai penggunaan kecemasan.
GAMBAR IHSAN AFP
Senarai penggunaan kecemasan oleh WHO membuka jalan bagi negara di seluruh dunia untuk meluluskan dan mengimport vaksin dengan kadar segera, bagi tujuan edaran.
Ia juga membuka ruang untuk vaksin itu menyertai skim perkongsian vaksin dunia, COVAX yang menyasarkan untuk menyediakan akses sama rata di seluruh dunia, khususnya negara miskin.
“Sehingga kini, kita mendapat maklumat vaksin ini selamat dan masih dalam proses untuk menentukan analisis akhir bagi menunjukkan keberkesanannya yang akan digunakan dalam kelulusan senarai penggunaan kecemasan,” kata pengerusi SAGE, Alejandro Cravioto.
“Setelah ia diluluskan, kita dapat membuat cadangan yang diperlukan bagi penggunaannya,” katanya, lapor AFP.
Sehingga kini, WHO memberikan lampu hijau senarai penggunaan kecemasan kepada vaksin COVID-19 oleh Pfizer/BioNTech, AstraZeneca/Oxford dan Johnson & Johnson.