Usahawan Mempaga ada potensi besar
Usahawan Mempaga ada potensi besar
BENTONG – Kawasan tanah rancangan FELDA sememangnya menjadi ‘lubuk emas’ kepada usahawan kecil yang kreatif dan berdaya tahan.
Dengan struktur penempatan peneroka yang tersusun dengan baik, setiap ruang dan peluang sudah tersedia untuk mereka membentuk demografi perniagaan dengan identiti tersendiri.
Antara kawasan FELDA yang paling mencipta nama adalah gugusan Mempaga dekat bandar Bentong.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam adalah antara individu yang sentiasa cakna dan turun padang ke tanah rancangan itu.
Baru-baru ini, Amizar yang juga ADUN Pelangai sempat singgah di FELDA Mempaga untuk menyantuni warga peneroka di situ.
Dia turut mempromosikan gerai yang menjual aneka kudapan bersama air kelapa kepada pengguna jalan raya utama Mempaga dan penduduk setempat.
“Jika ke FELDA Mempaga, (ada) satu gerai yang menghidangkan air kelapa dan aneka goreng seperti pisang goreng dan keropok lekor yang diusahakan Nazri.
“Gerai ini terletak berhadapan PETRONAS FELDA Mempaga… kami singgah untuk menikmati juadah sambil bertanyakan khabar dengan beberapa pengunjung di sini,” katanya.
Amizar kemudiannya singgah ke program – khusus untuk usahawan cendawan – di FELDA Mempaga 2.
“Ramai usahawan dan pengusaha menyertai kursus itu yang memberikan latihan secara teknikal kepada peserta,” jelasnya.
Dia berharap semua usaha berkenaan akan membuahkan hasil kepada usahawan terbabit dalam meningkatkan pendapatan serta mengharumkan nama Mempaga dan Pahang. – SAHIH