Usaha Permudah Urusan, 100 Peratus Peneroka Jengka 24 Selesai Bayar Cukai Tanah
Usaha Permudah Urusan, 100 Peratus Peneroka Jengka 24 Selesai Bayar Cukai Tanah
JERANTUT – Sebanyak 100 peratus peneroka Felda Jengka 24 berjaya melunaskan bayaran cukai tanah tahun ini hasil inisiatif murni pihak pengurusan yang membawa Pejabat Tanah Jerantut ke kawasan Felda itu sendiri bagi memudahkan urusan penduduk.
Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud, usaha itu dibuat dengan menjemput pihak Pejabat Tanah hadir ke dewan komuniti pada hari ini bagi memudahkan urusan pembayaran hasil tanah.
“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan. Lebih 200 peneroka hadir hari ini untuk menjelaskan cukai tanah mereka, termasuk untuk tapak rumah dan ladang. Jumlah bayaran rata-rata adalah sekitar RM250 ke atas, bergantung kepada keluasan tanah masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, lebih 70 peratus peneroka hadir membuat bayaran secara langsung pada hari ini, manakala selebihnya telah menjelaskan cukai mereka lebih awal secara terus ke Pejabat Tanah.
“Maknanya, tiada yang ketinggalan. Kita boleh katakan 100 peratus peneroka Jengka 24 telah menjelaskan cukai tanah tahun ini,” katanya.
Menurut beliau, kira-kira 300 peneroka di Jengka 24 menerima geran masing-masing pada tahun lalu dan kini menunjukkan komitmen tinggi dalam menjelaskan tanggungjawab mereka sebagai pemilik tanah yang sah.
Razak berkata, usaha itu digerakkan oleh semua penduduk yang mencadangkan agar satu sesi pembayaran secara berkumpulan diadakan dengan kerjasama Pejabat Tanah.
“Hari ini, Pejabat Tanah membuka kaunter di Dewan Mat Kilau Jengka 24 untuk memudahkan penduduk menjelaskan bayaran tanpa perlu ke pejabat daerah yang jauh,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan turun padang seperti ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah dapat menggalakkan lebih ramai peneroka menyedari pentingnya menjelaskan cukai tanah tepat pada masanya.-SAHIH