Usah tertipu ‘scam’ bekal katil, tilam untuk bomba
Usah tertipu ‘scam’ bekal katil, tilam untuk bomba
KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang nafi mengeluarkan dokumen tawaran membekalkan katil dua tingkat dan tilam asrama bomba di daerah ini yang tular sejak semalam.
Unit Perhubungan Awam JBPM dalam kenyataan hari ini, mengesahkan bahawa dokumen tawaran terbabit yang diedarkan kepada pembekal perabot di daerah ini adalah palsu.
Justeru, jabatan itu meminta pihak yang terkesan dengan dokumen terbabit melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Pihak jabatan melalui wakil telah membuat laporan polis bersabit pemalsuan dokumen kerajaan berkenaan yang berpotensi mengelirukan pihak berkaitan dan boleh mengakibatkan kerugian kepada mereka.
“Pentadbiran ini menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dengan modus operandi terbaharu ‘scammer’ yang menggunakan nama agensi kerajaan untuk menipu dan memperdaya pihak yang terlibat,” katanya.
Berdasarkan laporan, JBPM Pahang menerima beberapa aduan berkenaan penularan surat ‘Tawaran Membekal Katil Dua Tingkat dan Tilam Asrama Bomba (daerah Kuantan)’ yang diedarkan kepada pembekal perabot sejak semalam.
Dua pembekal perabot menerima dokumen palsu terbabit yang turut tertera tandatangan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Sumber : Berita Harian.