UPSI tekankan budaya BAIKK bentuk sahsiah pelajar
UPSI tekankan budaya BAIKK bentuk sahsiah pelajar
PERAK – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh sahsiah dan identiti pelajar menerusi penghayatan budaya BAIKK dalam kalangan pelajar baharu Diploma ambilan Julai sesi 2025/2026.
Budaya BAIKK merangkumi lima elemen utama iaitu Bangga UPSI, Adab, Ilmu, Keluarga dan Kreativiti, yang menjadi teras dalam membentuk mahasiswa holistik dan berdaya saing.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pelajar perlu sentiasa berbangga dengan universiti sebagai institusi berprestij yang banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
“Bangga UPSI bukan sekadar slogan, tetapi simbol penghargaan terhadap warisan dan legasi universiti,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baharu di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.
Menurutnya, adab adalah asas penting dalam membina jati diri mahasiswa berintegriti dan beretika.
“Adab mendahului ilmu. Ilmu tanpa adab boleh membawa kebinasaan, sebaliknya dengan adab, ilmu akan lebih diberkati dan dihormati,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ilmu perlu menjadi teras utama sepanjang tempoh pengajian, bukan sekadar untuk memperoleh diploma semata-mata.
“UPSI ialah kampus ilmu. Tuntutlah ilmu dengan bersungguh-sungguh dan jangan berhenti belajar walaupun selepas bergelar graduan,” katanya.
Tambahnya, elemen keluarga diterapkan bagi membina suasana kampus yang harmoni dan saling menghormati antara pelajar, pensyarah dan warga universiti.
“Kita adalah satu keluarga besar di UPSI. Hubungan yang berasaskan kasih sayang dan saling membantu mampu mewujudkan ekosistem pembelajaran yang positif,” katanya.
Beliau berkata, elemen kreativiti penting dalam melahirkan pelajar yang mampu berfikir di luar kotak serta bersaing di peringkat global.
“Saya harap pelajar akan tampil dengan idea segar dan berinovasi, bukan sekadar cemerlang akademik tetapi juga mempunyai nilai tambah,” katanya.
Seramai 624 pelajar baharu diploma mendaftar pada 6 Julai lalu, melibatkan penyertaan di beberapa fakulti termasuk Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) serta Fakulti Sains dan Matematik (FSM).-SAHIH