UNIT KOMUNIKASI KEMAS PROFESIONAL
PERSIAPAN HARI POTENSI PERINGKAT KEBANGSAAN SECARA ATAS TALIAN MEYAKINKAN
KUANTAN: Unit Komunikasi Korperat KEMAS, Jabatan Kemajuan Masyarakat Pahang menunjukkan tahap professionalisma yang tinggi dalam persiapan membuat liputan Hari Potensi Peringkat Kebangsaan 2020 yang berlangsung pada 16 hingga 20 November 2020, baru-baru ini.
Penolong Pengarah Kanan, Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dahliah Osman berkata, Hari Potensi tahun 2020 yang diadakan kali ini adalah dengan norma baharu yang sangat menitik beratkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menyekat penularan wabak Covid-19.
“Tahun ini, kaedah pelaksanaan Hari Potensi bermula di peringkat parlimen, negeri seterusnya peringkat kebangsaan yang diadakan secara atas talian.
“Oleh itu, semua petugas KEMAS diberi latihan teknikal untuk persiapan bagi menyediakan peserta yang bertanding untuk hari potensi yang disiarkan melalui aplikasi youtube Live dan boleh ditonton oleh orang awam khususnya waris yang mempunyai anak yang terlibat,”katanya.
Katanya, pelaksanaan Hari Potensi norma baharu ini mendapat kerjasama dari Unit Media KEMAS Pahang di bawah unit ini yang diketuai Ahmad Ismail dan dibantu oleh 10 orang kakitangan KEMAS.
“Unit Media ini telah dilatih dan diberi pendedahan dengan peralatan dan perisian media seawal September lalu, selain itu turut menghasilkan modul pembelajaran secara e-pembelajaran dan bakal disiarkan melalui youtube dan facebook.
Pengarah KEMAS Negeri Pahang, Zamri Mohamad berkata, Hari Potensi adalah kemuncak bagi setiap acara yang disertai oleh kanak-kanak Tabika KEMAS yang bermula di peringkat parlimen , negeri seterusnya kanak-kanak yang terpilih mewakili negeri Pahang ke peringkat kebangsaan.
“Acara dipertandingkan seperti bercerita Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris , pidato, tilawah dan terjemahan dan boneka tangan bagi kategori lelaki dan perempuan, selain untuk bertanding, acara ini boleh dijadikan latihan pengucapan awam dan turut membentuk yakin diri kanak-kanak berhadapan dengan khalayak.
“Konsep pembelajaran di tabika KEMAS ialah belajar melalui bermain yang sangat sesuai dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka bermain, ingin tahu dan mencuba seterusnya membaca, menulis , mengira, dan menaakul (4M),”katanya.