UMS SEDIA RM1.25 JUTA BANTU PELAJAR
PERUNTUKAN DISEDIAKAN UNTUK PRASISWAZAH B40 MENJALANI PEMBELAJARAN
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan RM1.25 juta untuk pelan data dan komputer riba bagi membantu pelajar prasiswazah dalam golongan B40 menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan lebih lancar.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM255,420 bantuan pelan data itu akan memberi manfaat kepada 1,928 pelajar.
Memetik dari laporan BH Online, katanya, baki RM1 juta lagi adalah dana untuk bantuan komputer riba kepada 714 pelajar B40 dengan 619 pelajar dari Sabah, manakala 37 pelajar dari Sarawak dan 58 pelajar lagi dari Semenanjung.
GAMBAR HIASAN
Peruntukan itu diperoleh daripada Tabung Amanah Kebajikan Pelajar UMS.
“Bagi bantuan pelan data, pelajar sudah menerima bantuan secara berperingkat bermula 8 Disember lalu.
“Bantuan ini adalah antara enam inisiatif di bawah UMS Prihatin kepada semua pelajar UMS melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebagai komitmen UMS untuk kebajikan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pelan Data Dan Komputer Riba 2020 yang disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah UMS selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pelajar, Datin Nurlaila Said, di sini, hari ini.
Taufiq berkata, bagi bantuan komputer riba, pelajar terpilih akan menerima sebuah komputer riba bernilai RM1,400 akan diserahkan kepada pelajar selepas melengkapkan borang setuju terima dan surat perjanjian.