UMPAN GULA-GULA ROGOL KANAK-KANAK
TUARAN: Seorang lelaki disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun selepas mengumpan mangsa dengan gula-gula berhampiran Jalan Tuaran Bypass, Sabah, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dikatakan keluar berseorangan untuk ke rumah ibu saudaranya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.
GAMBAR HIASAN
Ketika dalam perjalanan balik, lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan menahan kanak-kanak itu dan meminta mangsa mengikutnya dengan memberikan gula-gula.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata suspek didakwa membawa mangsa ke sebuah pondok di kawasan hutan terletak kira-kira 300 meter dari rumah kanak-kanak itu.
Setiba di lokasi kejadian, katanya, mangsa yang ketakutan dikatakan menangis dan mahu pulang ke rumah.
Bagaimanapun, beliau berkata, suspek didakwa menghalang mangsa termasuk dengan menggunakan sebilah pisau, sebelum merogol kanak-kanak berkenaan.
GAMBAR HIASAN
“Mangsa kemudiannya dibenarkan balik dengan diberi wang sebanyak RM5 dan diarahkan supaya tidak memberitahu kejadian itu kepada bapanya.
“Namun setiba di rumah, mangsa terus menceritakan kejadian menimpanya kepada ahli keluarga sebelum laporan polis dibuat pada hari sama.
“Sebaik saja menerima laporan, polis terus menjalankan siasatan, manakala kanak-kanak itu dirujuk kepada doktor pakar yang kemudian mengesahkan ada kesan koyakan baharu di kemaluan mangsa.
“Polis berjaya menahan suspek di kawasan Wisma YLY di Inanam, semalam dan merampas barang kes berkaitan.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku merogol mangsa dan keputusan ujian saringan awal air kencing terhadapnya juga menunjukkan lelaki itu positif methamphetamine,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Habibi berkata, suspek kini direman hingga 3 Disember depan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.