UMNO Terus Mara Demi Agama, Bangsa dan Tanah Air – Haris Salleh
UMNO Terus Mara Demi Agama, Bangsa dan Tanah Air – Haris Salleh
JERANTUT, 11 Mei – UMNO tidak boleh terus bersandar pada sejarah semata-mata, sebaliknya perlu tampil dengan pendekatan baharu yang lebih progresif dan inklusif bagi mengembalikan kepercayaan rakyat, demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Jerantut, YB Haris Salleh Hj Hamzah.
Dalam perutusan khas sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-79 hari ini, beliau menyeru agar seluruh ahli parti, tanpa mengira usia mahupun latar belakang, agar terus merapatkan saf dan memperkukuh semangat perjuangan demi masa depan yang lebih gemilang.
“UMNO: Sebuah Perjuangan” bukan sekadar tema, tetapi satu seruan untuk kita kembali kepada asas – memperjuangkan nasib bangsa, memperkasa ekonomi bumiputera, memperkukuh pendidikan anak-anak bangsa serta mempertahankan institusi Raja-Raja dan kestabilan negara,” katanya.
Menurut beliau, sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946, UMNO telah memainkan peranan penting dalam membina negara – bermula daripada menuntut kemerdekaan, membangunkan infrastruktur rakyat hingga menggubal dasar-dasar ekonomi yang menyentuh kehidupan bumiputera.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan Malaysia yang dikecapi sebelum ini tidak hadir secara kebetulan, sebaliknya hasil kestabilan politik dan muafakat yang dibina bersama rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN).
“Kini kita berdepan era baharu. Dinamika politik tanah air berubah. Rakyat menuntut ketelusan, kecekapan dan keberanian melakukan perubahan. UMNO tidak boleh alpa dan perlu menyesuaikan diri dengan realiti ini,” tegas beliau.
Di peringkat Bahagian Jerantut, Haris memberi jaminan bahawa gerak kerja UMNO akan terus berpaksikan kepada agenda rakyat, bukan semata-mata untuk memenangi pilihan raya tetapi lebih penting, memenangi hati dan keyakinan rakyat.
“Ayuh kita bangkit dengan tekad baharu. UMNO tidak akan pernah lesu. UMNO akan terus mara demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.
Sambutan ulang tahun ke-79 UMNO tahun ini turut memperkukuh semangat perjuangan di kalangan ahli-ahli akar umbi untuk terus mempertahankan legasi parti tertua negara itu dalam mendepani cabaran masa kini dan akan datang.