UMNO SEDIA LAWAN PAS DI KELANTAN
UMNO SEDIA LAWAN PAS DI KELANTAN: KEPUTUSAN ITU TIDAK MUSTAHIL JIKA PAS KETEPI MUAFAKAT NASIONAL
KOTA BHARU: Jika PAS cenderung mengenepikan Muafakat Nasional (MN) yang disepakati, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kelantan sedia meletakkan calon di semua kawasan pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
Setiausaha UMNO Kelantan, Akbar Salim, berkata UMNO Kelantan akur dengan sebarang keputusan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi (MT) sebagai menghormati organisasi dinaungi.
GAMBAR HIASAN
Katanya, ia termasuklah keputusan berkaitan situasi di DUN Perak dan juga kedudukan situasi kerajaan pusat.
“UMNO Kelantan komited dan istiqamah kepada piagam MN yang termeterai di peringkat kebangsaan bersama parti PAS dan bersetuju sebagai agenda penyatuan Ummah,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan Malaysiapost.
Beliau berkata, merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam HarakahDaily dan Malaysiakini yang diterbitkan pada 2 Disember lalu, pihaknya kurang jelas dengan pendirian PAS.
“Tajuk berita MB Kelantan pilih perkukuh PN, tolak cadangan terikat dengan MN, maka UMNO Kelantan kurang jelas sama ada PAS masih ingin meneruskan MN atau sebaliknya.
“Sekiranya PAS lebih cenderung untuk mengenepikan MN yang telah disepakati, UMNO dan BN Kelantan bersiapsedia meletakkan calon di semua kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen dalam PRU-15,” katanya.